Pengukuhan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan berhenti dengan penubuhan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Penganiayaan pengkritik tidak akan berhenti sehingga muafakat tentang Malaysia pasca-Najib dan pasca-Umno muncul untuk membentuk satu gabungan majoriti.
Perbandingan MKN dan Mageran
MKN sebenarnya boleh dibandingkan dengan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan oleh ayahanda Najib, Tun Abdul Razak, selepas rusuhan 13 Mei, 1969. Mageran Tun Razak dipengerusikan dirinya sebagai timbalan perdana menteri dan dianggotai menteri hal ehwal dalam negeri, presiden MCA, menteri kerja raya, pos dan telekom (MIC), menteri penerangan dan penyiaran, ketua turus angkatan tentera, ketua polis negara dan setiausaha kekal Kementerian Luar Negeri, dan operasinya dijalani oleh pemimpin tentera, polis dan birokrat.
MKN Najib mempunyai 7 ahli, selain perdana menteri sebagai pengerusi dan dianggotai menteri pertahanan, menteri hal ehwal dalam negeri, menteri komunikasi dan multimedia, ketua turus angkatan tentera, ketua polis negara, dan ketua setiausaha negara.
Sebuah institusi yang sementara, Mageran ditubuhkan dengan pengumuman darurat 3 hari selepas rusuhan 13 Mei yang menggantung pemerintah berparlimen.
Ia dibubarkan dengan tamatnya darurat 2 tahun kemudian. Mengikut perlemabgaan, kuasa darurat terletak pada Yang diPertuan Agong sungguhpun baginda mesti bertindak mengikut nasihat eksekutif.
Sebaliknya, MKN adalah sebuah badan kekal yang boleh mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai “kawasan keselamatan” selama 6 bulan. Kuasa darurat Agong dialihkan secara senyap kepada eksekutif dan, pada teorinya, Parlimen.
Sungguhpun mengikut undang-undang, pembaharuan perintah “kawasan keselamatan” setiap 6 bulan perlukan kebenaran Parlimen, dengan Parlimen yang sentiasa tunduk kepada eksekutif, ini sebenarnya bermaksud pembaharuan itu boleh dilakukan tanpa sekatan.
Pengarah operasi MKN dan pasukan keselamatan diberikan 15 kuasa khas termasuk kuasa mengenakan perintah berkurung; menangkap orang tanpa waran; mengawal pergerakan jalan; menggeledah premis bagi benda berbahaya; menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut; dan mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih.
Mereka juga dikecualikan tanggungjawab undang-undang untuk kesalahan yang dilakukan semasa bertugas.
Nyata sekali, kuasa MKN direka bukan untuk melawan serangan pengganas tetapi untuk pemerintahan tentera.
Persoalannya, kalau Mageran ditubuhkan kerana rusuhan 13 Mei, apakah alasan untuk MKN, macam sebuah Mageran mini yang sentiasa “bersedia” (on stand-by) untuk membolehkan pemerintahan tentera?
Andaikan pembangkang memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), apakah peluangnya berlaku peralihan secara aman? Apakah akan berlaku kekacauan yang membolehkan pengistyharan “kawasan keselamatan” yang mengekalkan kuasa Najib dan Umno/BN?
Perbandingan Najib dengan Mahathir
Apakah Malaysia sedang menggelongsor secara perlahan-lahan ke bawah cerun daripada negara ekaparti berpilihanraya (electoral one-party state) kepada kediktatoran perseorangan (personal dictatorship)?
Jika dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir pasca-reformasi, Najib pasca-1MDB jauh nampak lebih terdesak (desperate) dalam memanjangkan riwayat politiknya.
Dr Mahathir menggunakan polis dan mahkamah mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menahan menahan aktivis politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk melemahkan pembangkang.
Dr Mahathir berjaya kekalkan kuasanya dalam PRU10 (1999). Maka, kita tidak boleh ketahui sama ada beliau akan membenarkan peralihan kuasa secara aman jika BN tewas dalam PRU10.
Apa yang nyata, Dr Mahathir tidak menaruh nasibnya dalam PRU11 (2004) sungguhpun beliau tidak senang kalau hidup tidak berkuasa.
Beliau mengumumkan pengundurannya seawal Jun 2002, dalam masa kurang daripada 3 tahun selepas kemenangan PRU10.
Dengan mengelakkan ketewasan Umno/BN, beliau memilih pengunduran dirinya sebagai konsesi untuk meredahi kemarahan pengundi.
Rakyat kehilangan ‘kuasa ugutan’?
Mengapa Najib menjadi lebih ketagih kepada kuasa daripada Dr Mahathir sehingga sanggup mencipta MKN untuk melanjutkan kuasanya?
Ini bukan sahaja kerana Najib takut dirinya akan dihadapkan ke mahkamah selepas hilang kuasa, ia juga berlaku kerana rakyat sudah kehilangan “kuasa ugutan” terhadap Najib dan partinya.
Pada asasnya, kuasa ugutan rakyat ialah kuasa rakyat memecat pemerintah pada pilihanraya yang akan datang.
Read More / Baca Lagi >>