JERANTUT: Seorang anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Jengka yang terbabit dalam operasi mencari mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran pada 26 hingga 30 Jun lalu, adalah mangsa terbaru maut akibat jangkitan Melioidosis dan Leptospirosis.
Mangsa, Mohd Noor Abidin Ismail, 50, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada jam 3.11 pagi tadi. Allahyarham yang juga mangsa ketujuh meninggal dunia akibat jangkitan itu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mat Kilau pada 11.30 pagi.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Rosnah Ismail ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.
“Sehingga hari ini, jumlah keseluruhan kes yang disyaki ialah sebanyak 21 kes.
Dr Rosnah berkata, mangsa terbaru yang meninggal dunia itu sebelum ini pernah ditempatkan di Hospital Jengka pada 3 Julai sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pada 8 Julai untuk rawatan lanjut.
“Mangsa sebelum ini sudah didiagnosis sebagai Melioidosis dan Leptospirosis dan diberikan rawatan antibiotik, mangsa juga enghidap diabetis, keadaan mangsa kemudiannya stabil dan ditempatkan di wad biasa pada 26 Julai,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Allahyarham Mohd Noor menghidap serangan jantung dan disahkan meninggal dunia.
Dr Rosnah berkata, punca kematian mangsa adalah akibat serangan jantung yang disebabkan penyakit diabetis. – Bernama